Saman fitnah: Ahmad Amzad perlu fail pernyataan pembelaan

Dari kiri: Anwar dan Ahmad Amzad
Dari kiri: Anwar dan Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim perlu memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, pada 6 Februari ini.

Saman itu berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Nordiana Abd Aziz semalam.

"Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 6 Februari secara dalam talian di hadapan timbalan pendaftar sama untuk mengemas kini kes saman itu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala Saiffuddin Othman mewakili Ahmad Amzad sebagai defendan.

Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa pada 7 Disember lepas, defendan membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menuntut ganti rugi am dan pampasan serta ganti rugi teruk dan teladan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!