Pembantu operasi hospital direman lima hari

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu berjumlah RM15,000 kepada hospital tersebut.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri.

Sebelumnya, wanita berusia 36 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen Johor Bahru jam 9 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.

Semalam, SPRM menahan wanita yang bertugas sebagai Pembantu Operasi HSA kira-kira jam 2.30 petang di Pejabat SPRM Johor.

Hasil siasatan mendapati suspek telah bersubahat dengan pemilik-pemilik syarikat pembekal bagi mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.00 bagi perkhidmatan menyediakan makanan dan minuman untuk beberapa program kursus yang dijalankan sepanjang tahun 2018 oleh HSA namun perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan.

Awal April lalu, lima suspek termasuk seorang wanita yang merupakan pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an telah ditahan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!