Kecewa beli roti burger berkulat, ayam berbau
KEMAMAN - Seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila roti burger yang dibeli dari sebuah restoran makanan segera di sini didapati berkulat manakala ayamnya pula telah berbau.
Wanita yang dikenali sebagai Dhia Fadhila memuat naik gambar makanan itu menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya pada Selasa.
Jelas wanita tersebut, status itu dimuat naik kira-kira jam 6.30 petang selepas kecewa dengan keadaan makanan yang diterima.
"Ambe (saya) bukan nak buka aib orang! Ambe (saya) kecewa dengan kejadian hari ning (ni). Berasa nak makang (makan) ayam punya pasal. Tapi ni yang ambe (saya) dapat dengan harga yang dibayar.
"Ambe (saya) dapat roti keras kejung, berkulat, ayam tak masak, ayam berbau macam ayam lama. Kecewa rasanya," tulis wanita itu.
Menurut wanita itu, dia tidak menyangka keadaan itu menimpanya kali ini kerana sebelum ini dia hanya melihat perkongsian daripada orang lain yang turut mengalami situasi sama.
Sehingga kini, satus yang dimuat naik wanita itu mendapat 334 komen dan 32 perkongsian.
Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati hantaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen malah ada yang turut berkongsi nasib serupa selepas membeli ayam di premis sama.
Seorang pengguna, Nanie Erieyka meninggalkan komen memberitahu dia telah lama memboikot premis itu selepas mendapati ayam yang dibeli keras dan kentang putar berlendir.
"Saya dah lama boikot premis ini selepas dapat ayam yang beberapa hari punya... keras kejung. Kentang putar pun berlendir," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!