Segera tambah pusat jualan TNG - Menteri KPDN
PUTRAJAYA - Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNG) diarahkan untuk segera menambah bilangan pusat jualan kad dan perkhidmatan susulan rungutan orang ramai untuk mendapat kad dan peranti Smart Tag di pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementerian juga mengarahkan agar syarikat itu mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan pasar dalam talian untuk menurunkan iklan jualan kad TNG oleh pihak ketiga yang tiada kebenaran menjual.
"Penjualan kad TNG di platform dalam talian oleh pihak ketiga didapati pada harga berlipat kali ganda," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, perkara disuarakan kementerian menerusi mesyuarat pasukan khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof bersama wakil syarikat itu.
"Mesyuarat itu membincangkan permasalahan yang dialami pengguna antaranya kesukaran mendapatkan bayaran balik baki wang dalam kad TNG, penggunaan kad visa TNG bagi pembayaran tol dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, pihak TNG juga diberi masa satu minggu untuk menghasilkan pelan tindakan susulan seterusnya.
"Bahagian Penguatkuasaan KPDN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menjual kad TNG melebihi harga yang ditetapkan oleh pengeluar di bawah Akta Kawalan Harga dan
Anti Pencatutan 2011," katanya.
Selain TNG, mesyuarat itu turut dihadiri oleh pegawai dari Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
Mengenai masalah laluan di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang tidak lancar, Salahuddin berkata, KKR sedang meneliti tempoh pelaksanaan bagi penggunaan pembayaran tol menggunakan sistem RFID sepenuhnya di semua plaza tol.
"Syarikat konsesi perlu segera menambahbaik keupayaan teknologi imbasan RFID bagi mengelakkan kesesakan," katanya.
Pelaksanaan penggunaan FRID sepenuhnya di Lebuhraya Utara-Selatan diumumkan bermula 15 Januari tahun lalu.
Bagaimanapun Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan pengguna harus diberi pilihan sama ada mahu menggunakan FRID atau tidak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!