MH17: Keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah hari ini

Bangkai pesawat penumpang MH17 dari Malaysia yang jatuh terhempas di timur Ukraine. - Foto AFP
Bangkai pesawat penumpang MH17 dari Malaysia yang jatuh terhempas di timur Ukraine. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) akan menyampaikan keputusan kebolehterimaannya pada Rabu berhubung pencabulan hak asasi manusia oleh pemisah pro Rusia di timur Ukraine dan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh.

Menurut laman web ECHR, keputusan ke atas tiga permohonan antara negara (No 8019/16, No 43800/14 dan No 28525/20) dalam kes Ukraine dan Belanda lawan Rusia akan dibacakan di Bangunan Hak Asasi Manusia, Strasbourg, Perancis, pada kira-kira jam 14.30 (10.30 malam waktu Malaysia).

Bagi permohonan pertama, Ukraine lawan Rusia (no. 8019/16), melibatkan dakwaan Ukraine mengenai amalan pentadbiran Rusia yang melanggar Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia dalam konteks konflik di timur Ukraine yang bermula pada 2014.

Permohonan kedua, Ukraine lawan Rusia (no. 43800/14), pula melibatkan dakwaan penculikan tiga kumpulan kanak-kanak di timur Ukraine antara Jun dan Ogos 2014 dan pemindahan sementara mereka ke Rusia.

Bagi permohonan ketiga, Belanda lawan Rusia (no. 28525/20), membabitkan insiden MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, mengorbankan 298 orang, termasuk 196 warga Belanda.

Pemisah pro Rusia berjuang untuk menubuhkan Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan Republik Rakyat Lugansk (LPR) di timur Ukraine.

MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk buatan Rusia semasa terbang di atas wilayah konflik itu ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!