Netizen kecam kerja turapan jalan MPKJ 'ala kadar'

Kerja penurapan jalan yang dikongsikan di Facebook MPKJ pada Isnin mengundang kecaman netizen.
Kerja penurapan jalan yang dikongsikan di Facebook MPKJ pada Isnin mengundang kecaman netizen.
A
A
A

KAJANG - Tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) berkongsi kemas kini di Facebook mengenai kerja penurapan Jalan Bougenvilla Taman Bukit Belimbing Cheras dan Jalan Changkat di sini mengundang kecaman netizen.

Ia susulan kerja penurapan jalan tersebut didakwa dilakukan secara tidak sempurna dan tidak mengikut spesifikasi.

Rata-rata pengguna Facebook meluahkan rasa kurang senang dengan cara penurapan yang didakwa dilakukan sekadar meletak tar pada jalan berlubang.

"Macam ini hasil kerja, patut sampai ke sudah rosak manjang (terus)," komen ditinggalkan Fikri Fairos pada hantaran dikongsikan MPKJ pada Isnin.

Seorang lagj pengguna Facebook, Syed Izuddin bertindak meletak tag aktivis masyarakat, Lando Zawawi - Brotherhood Malaysia bagi bertanyakan sama ada turapan tersebut menggunakan kaedah yang betul atau sebaliknya.

Ada juga beranggapan, kaedah yang digunakan itu hanya bersifat penyelesaian sementara.

"Pembaikan sementara. Jalan berlubang semula selepas dua minggu apabila hujan lebat," tulis Mohamad Syazwan.

Segelintir pengguna turut mempersoalkan tahap kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut bagi kerja penyelenggaraaan jalan.

"Tak tahulah majlis perbandaran ada duit ke tidak. Tak kisah mana-mana kawasan tapi paling ketara jalan dari Nilai ke Sepang.

"Dari 2017 sampai sekarang, jalan asyik tampal saja bukan mahu turap betul-betul. Mungkin hendak tunggu menteri tersembam baru mahu turap agaknya," luah pemilik akaun Facebook, Lmmultimedia Lufti Hashir.

Kerja penurapan jalan dikongsikan di Facebook MPKJ pada Isnin.
Kerja penurapan jalan dikongsikan di Facebook MPKJ pada Isnin.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPKJ, Kamarul Izlan Sulaiman ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menghargai segala komen dan pandangan yang dikongsikan oleh orang awam.

Bagaimanapun menurutnya, kerja penurapan jalan yang dilaksanakan itu adalah penyelesaian sementara yang akan disusuli tampalan kekal dijadualkan bulan depan.

"MPKJ maklum berkaitan isu ini dan untuk makluman, kerja-kerja tampalan jalan secara sementara ini menggunakan coldmix telah dijalankan oleh Unit Road Gang (di bawah MPKj) di Jalan Bougenvilla, Taman Bukit Belimbing, Cheras.

"Kerja tampalan kekal akan dilaksanakan dijangka pertengahan Februari ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!