14 jam hanyut, terpaksa tanggal jaket keselamatan makin berat
KOTA KINABALU - Jaket keselamatan yang dipakai terpaksa ditanggalkan bagi memudahkan pergerakan untuk berenang.
Itu tindakan yang terpaksa diambil oleh seorang nelayan, Al Sipal Abdullah, 31, yang terpaksa berenang selama 14 jam untuk menyelamatkan diri ketika hanyut selepas terjatuh dari bot di perairan antara Pulau Manggalum dan Pulau Gaya pada Selasa.
Menceritakan detik cemas itu Al Sipal berkata, dia tidak boleh terus memakai jaket keselamatan itu kerana ia semakin berat.
"Pada mulanya, saya terjatuh dari bot akibat dipukul ombak kuat dan ketika itu saya masih memakai jaket keselamatan.
"Tetapi selepas tiga jam kemudian, saya terpaksa melepaskan jaket berkenaan kerana span jaket mula menyerap air menyebabkan ia semakin berat serta menyukarkan saya berenang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, sepanjang hanyut di perairan berkenaan, dia ada terserempak dengan beberapa kapal tetapi semuanya tidak berjaya dihampirinya kerana keadaan ombak yang kuat.
"Saya ada juga menjerit meminta pertolongan tetapi tidak didengari kerana jaraknya yang begitu jauh antara tiga hingga empat meter dari kapal yang ada di perairan berkenaan.
"Saya kemudian secara perlahan berenang dan sekitar jam 3 petang saya hampir tenggelam tetapi sempat tersedar sebelum terus berenang untuk ke tepian.
"Ketika hujan saya terpaksa menelentang untuk minum air hujan dan ketika memasuki waktu petang pula, sotong dan ikan mulai menghampiri serta menggigit badan saya.
"Ketika itu, saya terpaksa makan sotong hidup kerana terlalu lapar," katanya.
Al Sipal berkata, ketika berenang pada waktu malam keadaan gelap dan menyukarkan pergerakannya, namun mujur terdapat sebuah kapal sedang berlabuh.
"Saya secara perlahan menghampiri kapal berkenaan.
"Sebaik berjaya menghampiri kapal berkenaan, saya berpaut pada tayar dan menjerit meminta pertolongan. Kru kapal menyedari saya yang dalam keadaan lemah segera memberikan rawatan dan makanan kepada saya.
"Alhamdulillah, saya hanya tawakal dan tidak menyangka berjaya menyelamatkan diri ketika itu," katanya.
Katanya lagi, walaupun terselamat, namun itu adalah pengalaman pertamanya berdepan detik cemas sepanjang bekerja sebagai nelayan.
"Tidak pernah saya hanyut di laut dan terpaksa bertahan selama berjam-jam untuk menyelamatkan diri dan ini kali pertama ia berlaku," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Al Sipal terpaksa memakan sotong hidup untuk bertahan selepas 14 jam hanyut di perairan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!