Lebih 2,000 pekerja ladang, Orang Asli 'terputus hubungan'
KLUANG - Lebih 2,000 pekerja ladang dan penduduk di perkampungan Orang Asli di Kahang, dekat sini, ‘terputus hubungan’ akibat jalan penghubung ke kawasan berkenaan ditenggelami air akibat banjir pada Rabu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah berkenaan membabitkan 1,700 pekerja di 14 ladang dan 647 penduduk dari enam perkampungan Orang Asli.
Beliau berkata, enam kampung yang terlibat adalah Kampung Orang Asli Pucur, Peroh, Sengka, Air Pasir Batu 17, Berasau dan Sedohok. Pemantauan dan usaha menghulurkan bantuan makanan serta keperluan akan dilakukan pagi esok.
"Bagaimanapun, komunikasi melalui telefon tidak terputus, kami sudah bertanya tentang bekalan makanan, yang dijangka mampu bertahan sehingga esok.
"Kami akan berusaha dapatkan bantuan termasuk helikopter, bergantung keadaan cuaca kerana jarak untuk memasuki kawasan yang terputus itu tidak sampai satu kilometer,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Kahang di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pihaknya disertai beberapa lagi agensi akan cuba masuk esok pagi dengan membawa bekalan makanan dan beberapa keperluan lain, yang kini hanya boleh dilalui oleh bot atau helikopter.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, seramai 12,400 pegawai dan anggota pasukan keselamatan dan penyelamat telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi bencana di negeri itu.
Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 8,000 pegawai dan anggota serta 200 kenderaan pelbagai jenis telah digerakkan ke lokasi banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS).
"Pasukan keselamatan dan penyelamat ini terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM); Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.
Sementara itu, pihaknya turut menasihati mangsa banjir agar berpindah ke PPS yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa serta tidak perlu bimbang dangan keselamatan kediaman kerana polis akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!