CAP bimbang PSR diluluskan
GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang apabila Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) bersetuju untuk melaksanakan cadangan projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) di negeri ini.
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, keputusan itu amat mengejutkan walaupun ia disertakan dengan 18 syarat kerana projek itu dilihat akan memberi impak buruk kepada sosial, alam sekitar dan kehidupan nelayan terlibat.
Katanya, CAP meminta Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan 18 syarat tersebut agar rakyat mengetahuinya dan memahami mengapa projek itu diluluskan.
Beliau yang juga Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, pihaknya juga hairan projek mega itu telah diluluskan kerana kosnya yang amat tinggi berbanding kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Projek ini akan memberi impak dari segi sosial, alam sekitar selain mempunyai masalah kewangan, malah ia juga mendapat tentangan dari nelayan tempatan yang terkesan dengan projek ini, " katanya melalui kenyataan medianya.
Beliau turut membuat perbandingan kos ECRL dengan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1) yang didakwa terlalu berbeza.
"PIL1 adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang mana menelan belanja RM400 juta per kilometer berbanding ECRL yang hanya RM68 juta per kilometer (selepas disemak semula)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!