Polis rekod keterangan Setiausaha Akhbar Rafizi, pembantu Rara
KUALA LUMPUR - Polis memanggil dua individu, Noor Suhana Ishak dan Farhan Iqbal untuk dirakam keterangan berkaitan ciapan di Twitter yang mendakwa Pemuda UMNO mengganggu ceramah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), pada Oktober tahun lalu.
Noor Suhana yang juga pembantu Ahli Parlimen Bentong, Young Sefura memberitahu, beliau dipanggil ke ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, manakala Farhan yang merupakan Setiausaha Akhbar Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dipanggil ke Putrajaya untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, pada Khamis.
"Saya telah menerima panggilan daripada pegawai penyiasat untuk dirakam keterangan di IPD Sentul pada jam 2 petang, Khamis.
"Farhan pula (dirakam keterangan) di IPD Putrajaya pada jam 10 pagi, hari sama," katanya melalui Twitter pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kes itu disiasat oleh IPD Muar, Johor.
“Pegawai penyiasat telah membuat temu janji dengan kedua-dua individu itu untuk merakam keterangan mereka.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada 17 Oktober lalu, media melaporkan ceramah Muda dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam dalam kejadian di Muar, Johor.
Dua klip video tular masing-masing berdurasi 1 minit 31 saat dan 45 saat memperlihatkan sekumpulan lelaki bermotosikal yang menganggu ceramah Muda.
Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaafkan sekumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi semasa ceramahnya itu.
Dalam satu hantaran di Facebook, Syed Saddiq menyatakan bahawa kumpulan tersebut bukanlah musuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!