Guna 'kabel', ambil kesempatan beli rumah mampu milik

Ishak (gambar kecil) mendedahkan wujud individu yang mengambil kesempatan mendapatkan pemilikan rumah kos rendah mahupun mampu milik di banyak negeri. - Foto 123RF
Ishak (gambar kecil) mendedahkan wujud individu yang mengambil kesempatan mendapatkan pemilikan rumah kos rendah mahupun mampu milik di banyak negeri. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, Ishak Ismail mendedahkan wujud individu yang mengambil kesempatan dengan mendapatkan pemilikan rumah kos rendah mahupun mampu milik di banyak negeri sekali gus menafikan hak pemilikan kepada pihak lain yang lebih layak.

Menurutnya, situasi berkenaan bukan rahsia dalam isu hartanah di negara ini disebabkan kelemahan sistem data kerajaan sekali gus menyebabkan ia sukar dikawal.

"Banyak syarikat-syarikat bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan, Perbadanan Kemajuan Negeri bersaing untuk membekalkan rumah dan ini tidak begitu sihat.

"Mereka yang mempunyai 'connection', akan ambil kesempatan... dah beli rumah kos rendah di negeri Selangor, dapat pula beli rumah mungkin di Pulau Pinang, di Johor Bharu. Ini memang terjadi. Ini adalah 'open secret'.

"Sebab apa kerajaan tidak dapat mengawal kerana kerajaan tidak mempunyai data asas. Di zaman teknologi digital ni kalau kita bicarakan soal ini nampak macam sesuatu yang janggal... benda boleh diselesaikan... tapi kenapa tak boleh diselesaikan?

"Kita perlu tahu dengan tepat kumpulan rakyat yang memutuskan untuk tidak memiliki rumah tetapi mereka boleh ada pilihan untuk skim sewa beli. Kalau kita ada data yang tepat, maka kerajaan boleh merancang dengan baik," katanya ketika Program Kompas Rasuah Busters disiarkan secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Program membincangkan tajuk 'Skandal Hartanah Tiada Kesudahan' itu turut menampilkan peguam hartanah, Aizac Ismail sebagai panelis manakala Amin Ezati Rizki sebagai hos.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, pemaju akan cenderung mengambil kesempatan untuk melariskan hartanah mereka dengan kadar segera apabila wujudnya kumpulan kedua yang membeli hartanah untuk tujuan pelaburan yang dibenarkan secara tidak terkawal.

"Akan terjadinya isu mereka yang mampu ini membeli secara 'en bloc sale' dan menjual semula kepada pembeli pertama dengan mendapat keuntungan yang agak banyak," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengulas isu penipuan melibatkan ejen hartanah yang menyebabkan ramai bakal pembeli hartanah menjadi mangsa dan menanggung kerugian.

Ujarnya, pembeli bahkan pemaju sendiri perlu memastikan ejen yang menguruskan pembelian hartanah mempunyai lesen sah dikeluarkan kerajaan.

"Kesedaran perlu dipupuk dari awal lagi...kalau sudah ada sasaran untuk membeli rumah, selain menabung kena cari ilmu dahulu.

"Isu penipuan ini isu berterusan yang akan berlaku... kalau kita dapat ambil tindakan elakkan risiko berlaku adalah lebih baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!