Wisma Putra sahkan seorang rakyat Malaysia cedera
PUTRAJAYA - Kementerian Luar mengesahkan seorang pelancong warganegara Malaysia mengalami kecederaan akibat kejadian gempa bumi yang melanda wilayah Hualien, Taiwan pada Khamis (18 April).
Mangsa dilaporkan cedera akibat runtuhan batu semasa melawat Taroko Gorge National Park dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Hualien Tzu Chi, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Kementerian melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei akan terus memantau keadaan mangsa dan menghulurkan bantuan sewajarnya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang rakyat Malaysia cedera gempa bumi Taiwan
Gempa bumi berskala 6.1 dan 4.1 Richter berlaku di wilayah itu pada pukul 1.01 dan 1.17 tengah hari waktu tempatan.
Kementerian Luar menasihatkan warganegara Malaysia yang terjejas akibat bencana tersebut dan memerlukan bantuan konsular supaya berhubung dengan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei.
Alamat pusat berkenaan ialah 8th Floor, San Ho Plastic Building 102, Dun Hua North Road Taipei, Taiwan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!