Arteta sedia lawan sifu
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan pertarungan sengit untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Manchester City tidak akan menjejaskan hubungan baiknya dengan Pep Guardiola.
Arteta adalah pembantu Guardiola selama tiga setengah tahun di Manchester City sebelum mengendalikan The Gunners pada 2019.
Arsenal tidak memenangi kejuaraan liga selama 19 tahun, namun ketika ini mendahului juara bertahan City dengan lima mata dan mereka merupakan pasukan pilihan untuk menjulang EPL musim ini.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi pusingan keempat Piala FA pada Sabtu sebelum membuat perhitungan dalam dua aksi liga pada Februari dan April.
"Saya sentiasa berharap perkara itu akan berlaku satu hari nanti dan ia berlaku musim ini (persaingan dengan City rebut kejuaraan liga).
"Itu tidak akan mengubah persahabatan, detik-detik yang kami ada, betapa pentingnya dia dalam hidup saya dan betapa pentingnya dia dalam profesion saya.
"Kami berdua bersedia untuk menang dan mempertahankan kelab kami dalam apa cara sekali pun dan itu sentiasa berlaku sejak hari pertama," katanya.
Dalam pada itu, Arteta mengakui mereka memerlukan lebih ramai pemain berkualiti di bahagian tengah untuk menandingi City sehingga penghujung liga.
"Kami memerlukan lebih banyak pemain di bahagian tengah. Namun, dalam jendela perpindahan kali ini agak sukar.
"Perkara yang paling penting ialah kami mendapat persembahan yang bagus daripada pemain yang kami ada.
"Jika ada apa-apa lagi yang boleh menjadikan kami lebih baik, kami akan melihatnya dan pastikan ia menjadi kenyataan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!