[VIDEO] Lelaki tertidur dalam rumah diceroboh dituduh di mahkamah
JELEBU - Lelaki yang menceroboh masuk sebuah rumah sebelum tertidur akibat mabuk dalam kejadian di Jempol pada Isnin lalu dihadapkan ke Mahkamah Jelebu pada Khamis.
Tertuduh, B Raman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menceroboh masuk sebuah rumah di Taman Tanjung Bunga, Bahau Jempol dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang pada jam 6.30 pagi, 23 Januari lalu.
Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh mempunyai banyak rekod kesalahan lampau.
"Saya percaya jika jaminan diberi ada tendensi untuk tertuduh melarikan diri memandangkan dia mempunyai banyak rekod kesalahan lampau melibatkan kes narkotik dan jenayah serta telah dihukum beberapa kali," katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan diberi atas alasan dia perlu menjaga emaknya selain hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM1,000.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM16,000 dengan dua penjamin terdiri daripada ahli keluarga selain diarah melapor diri sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Februari depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!