DBKL tawar hadiah, galak penyewa culas bayar tunggakan
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan cenderahati kepada penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menjelaskan tunggakan sewa mengikut tempoh waktu ditetapkan.
Menerusi kemas kini di Facebook DBKL memaklumkan, hadiah berbentuk baucar tunai bernilai RM50 dan RM30 dilaksanakan sepanjang Kempen Bayar Tunggakan Sewa yang berlangsung sehingga Mac depan.
Menurut kenyataan itu, kempen bertujuan memberi peluang penyewa menjelaskan sewa sebelum tindakan penguatkuasaan pemotongan bekalan air dan penamatan sewaan dilakukan.
"Baucar RM50 diberikan kepada mereka yang menjelaskan keseluruhan tunggakan sewa seterusnya membuat pendahuluan sewa selama setahun.
"Sementara baucar tunai RM30 pula bagi penyewa yang menjelaskan tunggakan keseluruhan serta membuat bayaran sewa semasa," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Jelas kenyataan itu, tawaran itu terhad kepada pembayar terawal sahaja yang hadiah akan diberikan semasa program atau boleh dituntut di Menara DBKL 3.
Kata kenyataan itu, DBKL turut menyediakan cenderahati kepada penduduk PA/PPR yang membayar tunggakan dan sewa semasa sepanjang tahun ini.
"Ia juga terbuka kepada penyewa yang membayar tunggakan melebihi RM3,000 ke atas dan menjelaskan keseluruhan tunggakan tersebut atau minima RM3,000 daripada jumlah keseluruhan tunggakan," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!