Remaja lari dari asrama ditemui selamat
SUBANG JAYA - Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama di sebuah sekolah menengah pada awal pagi berjaya ditemui di sebuah kedai serbaneka di sini pada malam Rabu.
Ibu remaja berkenaan, Noor Fadhlina Nokman, 42, berkata, anaknya yang berusia 14 tahun itu ditemui di sekitar USJ 9 di sini lebih kurang pukul 10 malam.
Noor Fadhlina berkata, anaknya, Athirah Najwa Gazairi bertindak melarikan diri kerana tidak mahu tinggal di asrama berkenaan.
"Saya sendiri belum dapat kepastian sebab Athirah tidak mahu tinggal di asrama. Dia tidak pernah kongsi apa-apa (masalah dialaminya) dan terus mengambil tindakan sebegini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan remaja berkenaan sudah ditemui.
"Pada 25 Januari lebih kurang jam 10.50 malam, pengadu telah membuat laporan berkaitan menjumpai anaknya yang hilang dan telah memaklumkan pada pihak polis.
"Siasatan mendapati, orang hilang (OH) berkenaan melarikan diri pergi ke masjid dan berjalan-jalan di sekitar Subang Jaya sehingga malam dan telah ditemui oleh pakcik saudaranya," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!