Perak sasar kutipan cukai RM780 juta tahun ini
IPOH - Kerajaan negeri Perak menyasarkan kutipan hasil cukai berjumlah RM780 juta pada tahun 2023 berbanding hasil yang diperoleh tahun 2022 iaitu RM700 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri yakin sasaran tersebut mampu dicapai menerusi kecekapan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dalam memungut hasil.
"Walaupun mereka telah berjaya mencapai sasaran tahun lepas 100 peratus, tetapi tahun ini kita minta dipertingkatkan kerana masih ada ruang untuk mereka menambah bilangan, contohnya masih lagi terdapat tunggakan cukai yang belum dikutip ataupun masih ada ruang di mana kita boleh mempercepatkan proses meluluskan sesuatu permohonan.
"Ini memerlukan kecekapan kepada urusetia kerajaan negeri di peringkat PDT. Kita akan membuat kajian mengubahsuai, menambah baik kepada beberapa enakmen yang lama dulu.
"Mungkin enakmen itu cukup lama dengan kadar pungutan yang kecil sedangkan mereka telah mengaut keuntungan yang berlebihan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel, di sini pada Khamis.
Sementara itu, dalam ucapan pada majlis berkenaan, Saarani memaklumkan jumlah hasil dan terimaan pembangunan yang diperoleh kerajaan negeri pada tahun 2022 sebanyak RM1.13 bilion melebihi sasaran asal iaitu RM1.05 billion.
Katanya, daripada pencapaian tersebut, jumlah hasil yang diperoleh bagi tahun 2022 adalah RM1.09 bilion atau 105.89 peratus berbanding sasaran.
"Pencapaian kutipan hasil ini hampir menyamai kutipan hasil pada tahun 2019 iaitu RM1.095 bilion. Ini menunjukkan hasil Kerajaan Negeri kembali pulih selepas dua tahun menghadapi penurunan akibat pandemik pada tahun 2020 dan 2021.
"Bagi tahun 2023 pula, sasaran Hasil dan Perbelanjaan telah ditingkatkan bagi memastikan kerajaan negeri terus meningkatkan fokus untuk kutipan hasil yang lebih baik supaya pelaksanaan pembangunan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan Negeri Perak telah mencatatkan nilai pelaburan bagi sektor pembuatan sebanyak RM2.5 bilion bagi tempoh Januari sehingga September 2022.
Menurutnya, ia merangkumi 37 projek pelaburan domestik dan pelaburan asing sekaligus menghasilkan lebih dari 4,926 peluang pekerjaan di seluruh Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!