Rasuah: Bekas pengarah dipenjara sebulan, denda RM210,000

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM210,000 atas kesalahan rasuah.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM210,000 atas kesalahan rasuah.
A
A
A

KUANTAN - Bekas Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Pahang, Kementerian Kerja Raya dihukum penjara selama sebulan dan didenda RM210,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini pada Khamis atas tuduhan menerima rasuah RM42,000 pada 2013.

Tertuduh, Saiful Azman Taha, 45, dari Taman Pelindung Maju di sini turut berdepan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa menerima suapan itu daripada juruteknik sebuah syarikat sebagai balasan mengeluarkan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera (STB) kepada syarikat tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Taman Pelindung Maju antara jam 3 hingga 4 petang pada 21 Disember 2013.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut jumlah paling tinggi.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh mengemukakan rayuan memohon agar anak guamnya hanya dikenakan hukuman penjara dalam tempoh singkat.

Dalam rayuan itu, Mohd Baharuddin memberi alasan anak guamnya telah ditahan kerja sejak 2018 dan hanya menerima gaji RM2,500 iaitu separuh dari gaji asal untuk menyara isteri dan dua anak yang masih bersekolah.

Menurutnya, Saiful Azman juga mengalami depresi serius hingga mengganggu kehidupan sehariannya.

"Tertuduh telah pergi ke Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan mendapat tarikh janji temu dengan pakar psikiatri 31 Januari ini.

"Hukuman penjara yang panjang tidak sesuai untuk tertuduh dalam keadaan kesihatannya ketika ini malah boleh menjadi lebih teruk," ujarnya.

Tambahnya, mahkamah juga perlu mengambil kira kesan daripada pengakuan bersalah itu, tertuduh akan hilang pekerjaan dan keistimewaan sebagai penjawat awam termasuk gaji, kemudahan rawatan, wang ganjaran dan pencen.

Sementara itu, Rifah Izzati memohon satu hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan.

Menurutnya, perbuatan menerima rasuah mencemarkan imej penjawat awam, jabatan dan kerajaan.

Mengambil kira hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, Ahmad Zamzani menjatuhi hukuman penjara terhadap tertuduh bermula pada Khamis serta denda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!