Piala Malaysia bermula pertengahan liga
SAINGAN Piala Malaysia pada 2023 akan bermula pada pertengahan liga berbeza berbanding edisi sebelum ini yang dilangsungkan selepas Liga Malaysia berakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, saingan tersebut akan melibatkan 14 kelab Liga Super dan dua kelab teratas dari Liga M3.
"Proses undian akan menyaksikan pasukan yang berada di kedudukan pertama hingga kelapan (selepas perlawanan ke-13 Liga Super) merupakan pasukan seeded.
"Manakala, pasukan yang berada di kedudukan sembilan hingga 14 dan kedudukan pertama dan kedua Liga M3 akan diundi untuk menentukan posisi pasukan ke pusingan 16 yang akan bertemu pasukan-pasukan seeded," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM pada Khamis.
Menurutnya, perubahan itu dilakukan untuk mengatasi kelemahan kalendar liga terdahulu terutama membabitkan kontrak pemain.
Ia akan menyaksikan pemain Liga Malaysia akan mempunyai kontrak sehingga Disember.
"Kelemahan yang kita kenal pasti dalam tahun-tahun lalu adalah apabila pemain tidak dapat bermain hingga hujung musim kerana tewas awal dalam kejohanan, di situ mereka tidak bermain antara September dan Oktober.
"Untuk memastikan kalendar penuh bagi setiap pasukan, kalendar berakhir pada bulan Disember. Ini adalah kelainan sedikit apabila Piala Malaysia bermula pertengahan musim dan bukan tunggu hujung musim.
"Jadi perlawanan akhir Piala Malaysia akan dimainkan sebelum perlawanan terakhir Liga Super," katanya.
Beliau turut menjelaskan perubahan format Piala Malaysia itu membolehkan Piala Cabaran diperkenalkan semula.
"Lapan pasukan yang tidak layak ke perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia akan bermain di perlawanan suku akhir pertandingan Piala Cabaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!