'Kami sudah lali dengan fenomena air pasang'

Keadaan kedai makan yang dibadai ombak ketika air laut pasang besar di Kampung Dasar Sabak. (Gambar kecil: Mohamad Abdullah (kiri), Baihaqi)
Keadaan kedai makan yang dibadai ombak ketika air laut pasang besar di Kampung Dasar Sabak. (Gambar kecil: Mohamad Abdullah (kiri), Baihaqi)
A
A
A

KOTA BHARU - Fenomena air pasang besar di Kampung Pantai Dasar, Sabak di sini berlaku setiap tahun dalam tempoh musim tengkujuh.

Justeru, penduduk di 42 rumah berhampiran pantai di kampung itu sudah lali dengan situasi berkenaan tetapi pada masa sama tetap bersedia menghadapi kemungkinan banjir air laut.

Bagi peniaga, Hasnah Bakar, 61, kejadian yang berlaku pada malam Khamis itu merupakan situasi biasa, namun dia tetap bimbang kerana ombak besar menghempas benteng batu, kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Hasnah yang sudah 19 tahun tinggal di tepi pantai itu menyedari ombak kuat apabila berlaku gegaran beberapa saat selepas Isyak.

"Bagaimanapun saya sekeluarga tetap berwaspada kerana bimbang tsunami kecil pada tahun 2014 berulang yang mengakibatkan banyak kerosakan kediaman penduduk," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Sementara itu, Mohamad Abdullah Ghazali, 37, berkata, ketika kejadian, dia keluar bekerja dan hanya pulang pada jam 12 malam.

"Saya dimaklumkan oleh adik berlaku ombak besar kira-kira jam 8 malam tetapi tidak kelam-kabut untuk pulang kerana kejadian seumpama ini berlaku setiap tahun.

"Mujur juga air pasang besar malam tadi tidak bertembung degan hujan lebat yang mungkin akan mengakibatkan banjir laut besar," katanya.

Benteng batu yang dibina pada tahun 2006.
Benteng batu yang dibina pada tahun 2006.

Bagaimanapun, Mohamad Abdullah memberitahu, sebaik pulang didapati beberapa kedai berdekatan pantai dibadai ombak manakala rumah jiran dimasuki air sebelum surut sepenuhnya kira-kira jam 1.30 pagi.

Seorang lagi penduduk, Baihaqi Samsudin, 36, berkata, fenomena air pasang besar itu merupakan perkara biasa bagi penduduk yang tinggal pesisir pantai.

Menurutnya, fenomena itu berlaku beberapa kali setahun bergantung keadaan cuaca.

"Sebelum tahun 2006, sebanyak 20 rumah dibadai ombak dan dihanyutkan ke laut kerana tiada benteng batu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!