'Buaya' ekonomi secara terangan lakukan tuntutan palsu - SPRM

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - ‘Buaya’ ekonomi yang mengambil kesempatan membuat tuntutan palsu bagi memperoleh dana kerajaan, menyebabkan golongan yang sepatutnya mendapat manfaat terpinggir dan ekonomi tidak dapat berkembang seperti dijangka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, nilai integriti dilihat semakin pudar dalam segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membantu kerajaan menerusi penyaluran dana atau bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan dana seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), yang bertujuan membantu rakyat yang terkesan akibat tekanan ekonomi sepanjang pandemik Covid-19.

"Golongan buaya ekonomi telah mengambil kesempatan secara terang-terangan, dengan membuat tuntutan palsu bagi memperoleh dana yang disediakan oleh kerajaan untuk kekayaan sendiri.

"Inilah sikap buaya-buaya ekonomi di skala kecil dan sederhana, nilai integriti semakin pudar dan tamak haloba menjadi budaya, kesannya golongan pekerja dibuang, mahasiswa menganggur, peniaga-peniaga yang sepatutnya menerima faedah serta bantuan dipinggirkan begitu sahaja dan terpaksa menutup perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, ketirisan dana berkenaan berlaku akibat beberapa faktor, antaranya kelemahan dalam proses semakan terhadap ketulenan maklumat yang menyebabkan beberapa syarikat yang dimiliki orang sama membuat tuntutan, isu darurat (kecemasan) digunakan sebagai alasan untuk tidak membuat ‘due diligence’ terhadap pemohon.

Beliau berkata selain itu, kerajaan juga tiada mekanisme jelas untuk memantau program atau aktiviti yang sedang dijalankan, untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan dengan jumlah peserta yang tepat dan tiada peraturan dan undang-undang jelas untuk diambil tindakan terhadap pemohon seperti senarai hitam, saman sivil dan tuntutan semula, dana yang tidak dibelanjakan,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata, hasil kerjasama antara SPRM dan agensi serta kementerian terlibat, seramai 133 individu terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat telah ditahan dan lebih 100 syarikat disiasat melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM194 juta dalam operasi khas tahun lepas dengan 34 pemilik atau pengarah syarikat telah didakwa di mahkamah.

"Pada 2023 ini SPRM akan memberikan tumpuan terhadap isu ketirisan dan penyelewengan dana dalam sektor sumber manusia, kebajikan, automotif, pendidikan dan pengajian tinggi, penternakan, pertanian serta perladangan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!