'Scammer' menyamar Ketua Polis Selangor cari mangsa
SHAH ALAM - Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan helah sindiket penipuan menawarkan hadiah wang tunai RM270,000 yang kononnya mendapat sokongan Polis Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, pihaknya mengesan sebaran mesej berkenaan tular di media sosial baru-baru ini menawarkan wang tunai kononnya hadiah daripada Telekom Malaysia.
Menurutnya, sindiket terbabit menggunakan nama beliau untuk menampakkan seolah-olah mesej yang diterima mangsa berkenaan adalah daripada saluran rasmi.
"Kandungan mesej berkenaan menyatakan Sasikala dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan SPRM mengesahkan hadiah yang ditawarkan berkenaan adalah benar.
"Oleh itu, pihak polis menegaskan bahawa kandungan yang tular itu adalah satu bentuk penipuan yang menyamar menggunakan nama Pemangku Ketua Polis Selangor," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sasikala berkata, kertas siasatan akan dibuka terhadap individu tidak bertanggungjawab berkenaan yang menyamar untuk memperdaya orang ramai.
"PDRM menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan taktik penipuan masa kini," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!