Rebut peluang sertai bengkel penulisan novel bersama Sri Diah
SHAH ALAM - Pengunjung karnival Jualan Gudang Karangkraf 2023 kali ini bukan sahaja bakal menikmati tawaran buku pada harga diskaun, namun berpeluang menyertai Bengkel Penulisan Novel bersama penulis terkenal, Sri Diah.
Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan Grup Buku Karangkraf, Siti Rahmah Mokhtaruddin berkata, sesi bersama penulis karya ‘Kuala Lumpur, Di Mana Suamiku’ dan ‘Selamat Malam Tan Sri’ itu adalah julung kali diadakan.
Menurutnya, bengkel itu akan diadakan pada 4 Februari dari jam 10 pagi hingga satu petang bertujuan memberi pendedahan kepada mereka yang ingin mendalami penulisan novel.
“Kalau kita biasa membaca novel karya Sri Diah, beliau banyak mengangkat isu-isu dan situasi sebenar kehidupan masyarakat di kota raya.
"Dalam erti kata lain, pembawaan dalam karyanya tidak berbentuk fantasi seperti novel fiksyen lain.
“Jadi peserta yang menyertai program ini akan diberi tunjuk ajar tentang bagaimana menulis sesebuah karya novel dengan memasukkan elemen-elemen realiti dan isu semasa dengan lebih intelek,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Siti Rahmah berkata, masih terdapat kekosongan dalam slot tersebut untuk diisi bagi mereka yang berminat.
“Program ini kita hadkan kepada 15 orang sahaja. Buat masa ini, tiga orang telah mendaftar dan terdapat 12 kekosongan lagi. Yuran bagi penyertaan hanya RM90, jadi jangan lepaskan peluang,” katanya.
Selain bengkel tersebut, Kumpulan Karangkraf turut mengadakan program lain bersama penulis terkenal pada 28 dan 29 Januari serta pada 4, 5, 6 Februari bersama Nurul Syahida/Rizal Ramli (Kreativiti Tanpa Batas), Izzad Daniel, Kipas Hikmat dan Ustaz Pahrol Mohd Juai (Seperti Air Yang Mengalir).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!