Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 6,453
KOTA KINABALU - Mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) semakin meningkat kepada 6,453 mangsa setakat jam 4 petang Khamis.
Seramai 2,209 ketua isi rumah (KIR) ditempatkan di 26 PPS di empat daerah iaitu Paitan, Pitas, Kota Marudu dan Kudat.
Peningkatan mangsa yang dipindahkan berikutan keadaan banjir yang semakin buruk membabitkan daerah Paitan dan Pitas.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Paitan dan Pitas mengalami peningkatan mangsa banjir iaitu masing-masing mencatat seramai 371 dan 554 mangsa dipindahkan ke PPS.
"Daerah Kota Marudu mencatat seramai 4,789 mangsa banjir manakala di Kudat mencatat seramai 739 mangsa.
"Lahad Datu sebelum ini mencatat seramai 18 mangsa, namun semuanya telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan situasi banjir di Sabah semakin memburuk apabila seramai 6,309 mangsa telah dipindahkan ke PPS membabitkan lima daerah termasuk Lahad Datu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!