PRN: Agihan kerusi PN Terengganu belum selesai

Ahmad Samsuri ketika menjawab soalan media.
Ahmad Samsuri ketika menjawab soalan media.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Agihan kerusi melibatkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tidak lama belum dimuktamadkan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan tentang pembahagian 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih lagi berjalan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Naib Presiden Pas mengesahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding namun enggan mengulas jumlah kerusi diperuntukkan kepada parti itu.

“Perbincangan tidak rasmi sedang berjalan, berdasarkan pengalaman agihan kerusi dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu, perkara ini (agihan kerusi) tidak sukar untuk kami dalam PN selesaikan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Seminar on Technology And The Future Growth: Challenges of Change di Primula Beach Hotel, di sini pada Khamis.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan dalam PRU14, Pas berjaya memenangi sebanyak 22 kerusi manakala 10 lagi dimenangi UMNO.

Sementara itu mengulas tentang manifesto yang bakal ditawarkan PN kepada pengundi di Terengganu, beliau memaklumkan ia sudah berada pada peringkat akhir yang memerlukan penglibatan beberapa pihak lain.

Tanpa mendedahkan jumlah manifesto dalam PRN kali ini, Ahmad Samsuri berkata, tawaran tersebut merangkumi pelbagai perkara menarik termasuk ekonomi rakyat dan perubahan struktur dalam pentadbiran.

“Sebelum ini (PRU14), kita ada 20 manifesto dan semua kita sudah tunaikan termasuk yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!