Pemuda Palestin maut ditembak tentera Israel
JENIN - Seorang pemuda Palestin dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki pada Khamis, menurut radio rasmi Voice of Palestine.
"Ezzedin Salahat, 26, ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jenin,” lapor Anadolu Agency memetik stesen radio itu.
Awal Khamis, saksi memberitahu Anadolu bahawa seorang askar Israel menyerbu kem pelarian Jenin, yang mencetuskan pertempuran antara berpuluh-puluh rakyat Palestin dan tentera Israel.
Saksi berkata, pertempuran tercetus dan tentera Israel menggunakan peluru hidup dan logam serta gas pemedih mata.
Ketegangan memuncak di Tebing Barat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini susulan serbuan berulang Israel untuk menahan apa yang mereka katakan "rakyat Palestin yang dikehendaki" atau untuk merobohkan rumah Palestin.
Serbuan itu mencetuskan pertempuran dengan penduduk Palestin dan menyebabkan beberapa kematian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!