Afrika Selatan benam Malaysia
[KEMASKINI] SKUAD hoki negara terpaksa melepaskan pemburuan kelompok sembilan hingga ke-12 Piala Dunia 2023 selepas dijinakkan Afrika Selatan dengan kekalahan 3-6 dalam aksi di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India pada Khamis.
Skuad Malaysian Tigers kendalian Arul Selvaraj tampil dalam rentak berintensiti tinggi dalam tempoh lima minit pertama perlawanan bagi menyaingi pasukan pimpinan Cheslyn Gie tersebut.
Namun, Afrika Selatan yang tampil dengan corak permainan pantas dan taktikal lebih tersusun mendahului hasil jaringan gol padang Bradley Sherwood pada minit kesembilan.
Gol itu ternyata menyuntik semangat Afrika Selatan apabila berjaya menghasilkan dua gol lagi hasil pukulan sudut penalti Guy Morgan pada minit ke-17 diikuti gol padang Nqobile Ntuli (26).
Sebaik masuk suku ketiga, Malaysia cuba bangkit memberikan cabaran dan berhasil merapatkan kedudukan hasil gol pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-35.
Namun, jaringan itu tidak memberi kesan kepada Afrika Selatan apabila menambah dua lagi gol menerusi jaringan padang Keenan Horne pada minit ke-43 dan penalti Mustaphaa Cassiem seminit kemudian.
Razie kembali menghidupkan cabaran Malaysian Tigers yang berada di tangga ke-10 dunia apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-45 bagi menjadikan kedudukan 2-5.
Afrika Selatan terus melebarkan kedudukan menerusi gol padang Sherwood pada minit ke-57 sebelum Malaysian Tigers mengurangkan defisit menerusi jaringan Muhammad Firhan Ashaari beberapa saat kemudian.
Namun, jaringan Firhan itu dianggap sudah terlambat buat Malaysia untuk sekurang-kurangnya mengikat Afrika Selatan dengan keputusan seri sebelum tamat masa sebenar.
Kekalahan 3-6 kepada Afrika Selatan yang menduduki tangga ke-15 dunia menyaksikan anak-anak buah Arul hanya akanmengharungi perlawanan perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga 16.
Sementara itu, Arul mengakui dia dan para pemainya cukup kecewa dengan keputusan diraih dalam perlawanan tersebut disebabkan kehilangan fokus pada suku pertama dan kedua.
“Kita cuba bangkit pada suku ketiga dan keempat, namun ternyata Afrika Selatan bermain dengan lebih baik dan meletakkan kemahuan tinggi untuk menang,” katanya pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!