Ambil tindakan tegas, boikot produk Sweden - Pembela
SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik Sweden membakar al-Quran dan menyifatkannya perbuatan jenayah tidak bertamadun.
Pengerusinya, Mahmud Hishamuddin berkata, Pembela dalam masa sama turut membantah sikap ‘double standard’ kerajaan Sweden dalam mengekang tindakan Islamofobia.
“Kami ingin menyarankan agar kerajaan Malaysia mengambil langkah yang lebih tegas dengan tekanan-tekanan diplomatik yang wajar agar kerajaan Sweden mengenakan tindakan serius terhadap golongan ekstrimis yang mengundang suasana tegang dan kebencian antara agama.
“Pembela juga menyokong semua usaha tegas termasuk kempen boikot, pelupusan kepentingan dan sekatan ke atas semua produk ekonomi berkepentingan Sweden termasuk tindakan undang-undang yang dibenarkan untuk memastikan hasrat bantahan itu sampai ke sasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, negara itu berselindung di sebalik hak asasi manusia dan Sweden sepatutnya lebih arif dalam perkara itu dan berupaya untuk mencegah daripada berulang.
“Kami akan menggerakkan ahli-ahli kami untuk bersolidariti dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain dalam menyampaikan memorandum bantahan kepada kedutaan Sweden pada Jumaat ini.
“Pembela menggesa seluruh umat Islam bersama-sama dalam usaha ini supaya keadilan dalam menegakkan prinsip-prinsip hak asasi manusia tidak dicemari dengan elemen-elemen tindakan ‘double standard’ dan kebencian yang berlaku di Sweden dibiarkan oleh pihak pemerintah,” jelasnya.
Pembela yang mewakili gabungan lebih daripada 50 NGO berganding bahu menolak tindakan keji ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!