Jumlah mangsa banjir Johor terus catat penurunan

Anggota APM mengemas semula khemah sementara berikutan penutupan salah sebuah PPS di Kluang, pada Khamis. - Foto APM Kluang
Anggota APM mengemas semula khemah sementara berikutan penutupan salah sebuah PPS di Kluang, pada Khamis. - Foto APM Kluang
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan apabila seramai 4,575 mangsa daripada 1,266 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah di sekitar negeri setakat jam 8 malam, pada Khamis.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), penurunan itu turut menyaksikan hanya 46 PPS masih beroperasi setakat ini.

“Setakat jam 8 malam, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan penurunan di kesemua tujuh daerah di sekitar negeri.

“Selain itu, sebanyak tujuh PPS juga telah ditutup berbanding lima setakat 4 petang tadi (Khamis).

“Bagaimanapun, tujuh daerah melibatkan Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, Batu Pahat dan Muar masih terjejas akibat banjir ketika ini,” menurut laporan berkenaan.

Sementara itu, tiada amaran ribut petir dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi negeri Johor.

Bagaimanapun, beberapa daerah di Johor seperti Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru bakal menerima hujan berterusan sehingga 30 Januari, kelak.

“Paras air sungai juga masih berada di paras bahaya apabila Sungai Gemas di Segamat mencatatkan 19.28 meter, 15.82 meter (Sungai Kahang, Kluang), 2.77 meter (Sungai Endau, Mersing) dan 7.14 meter (Sungai Lenik, Ladang Chaah, Segamat),” menurut laporan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!