Aktivis Thailand dipenjara 28 tahun hina raja

Menghina institusi diraja merupakan kesalahan terbesar di Thailand. - Foto Agensi
Menghina institusi diraja merupakan kesalahan terbesar di Thailand. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Sebuah mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun terhadap seorang aktivis kerana menghina institusi diraja di dalam talian.

Undang-undang lese-mejeste di Thailand antara paling keras di dunia dan badan hak asasi manusia menyatakan ia disalahgunakan untuk menyekat pendebatan awam.

Mahkamah di bandar utara Chiang Rai mendapati Mongkol Tirakote, 29, seorang penjual pakaian di dalam talian dan aktivis didapati bersalah dalam kes berasingan menghina raja.

Peguam tertuduh berkata, pada asalnya hukuman tersebut ditetapkan selama 42 tahun tetapi mahkamah mengurangkan hukuman selepas dia memberikan keterangan selengkapnya.

Tambahnya, Mongkol berhasrat membuat rayuan dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak 300,000 baht (RM38,894).

Sabitan penghinaan terhadap institusi diraja di Thailand bakal berdepan hukuman penjara selama 15 tahun, bagi setiap pertuduhan.

Mongkol berdepan tiga pertuduhan berasingan dalam talian dari tahun lepas dan akan dibicarakan semula di mahkamah pada Mac depan.

Penyelidik kanan Human Rights Watch (HRW) Sunai Phasuk berkata, hukuman 28 tahun itu merupakan hukuman penjara kedua tertinggi yang dijatuhkan oleh mahkamah Thailand bagi kes menghina raja. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!