'Import' pakar Singapura bukan bermakna Malaysia lemah
Kor Ming
A
A
A
Beliau berkata, tuduhan sedemikian adalah satu tindakan provokasi yang berbaur hasutan kerana penjawat awam di kementeriannya sentiasa memberikan khidmat yang terbaik dengan penghasilan pelbagai dasar seperti Dasar Perumahan Negara, Dasar Rumah Mampu Milik dan program-program perumahan holistik untuk rakyat di negara ini.
"Penjawat awam telah berkhidmat dengan cemerlang sejak dari pentadbiran Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sehinggalah ke hari ini.
"Sinergi penjawat awam dan anggota pentadbiran telah melahirkan pelbagai dasar, program dan pelan-pelan tindakan telah dihasilkan demi kepentingan rakyat.
"Niat untuk menjemput pakar-pakar dari negara luar termasuk Singapura dalam sesi seminar dan bengkel adalah bagi mendapatkan ilmu dan pengetahuan serta berkongsi kepakaran dalam bidang perumahan agar Malaysia dapat bergerak ke hadapan dan relevan dengan perkembangan semasa,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal televisyen media yang mendakwa pegawai kerajaan yang mengendalikan aspek perumahan awam negara tidak cukup kepakaran sehingga terpaksa mengimport pakar dari Singapura.
Kor Ming berkata, libat urus bersama agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) itu telah dimulakan sejak tahun 2018 lagi melalui lawatan mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan delegasi ke negara jiran itu untuk memahami perancangan dan penyediaan perumahan terutamanya dalam perumahan sosial.
Katanya, Dasar Perumahan Negara sedia ada yang dibangunkan pada masa ini merupakan hasil kerjasama kementerian itu bersama pakar perumahan dalam negara seperti Khazanah Research Institute (KRI), Bank Negara Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), para akademik, penganalisis hartanah.
"Tidak salah untuk kita menambah baik dasar sedia ada berdasarkan amalan terbaik supaya polisi yang dirangka lebih komprehensif dan praktikal dilaksanakan mengikut acuan Malaysia,” katanya.
Kor Ming menarik perhatian, Malaysia melalui kementerian itu turut telah melaksanakan pelbagai kerjasama yang serupa dengan pelbagai negara lain selain Singapura, seperti Australia berkaitan pemajuan perumahan swasta dan akta sewaan kediaman dan India pula dalam pembangunan bercampur swasta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!