Pembangkang tuntut penjelasan modul politik Akademos
IPOH - Wakil rakyat BN meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung penggunaan modul politik dalam sebuah bengkel Akademi Rakyat (Akademos) yang diadakan Oktober lalu disertai anggota DUN Belia Perak.
ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, seorang moderator jemputan didapati mempersoalkan kewajaran penganugerahan darjah kebesaran kurniaan raja-raja Melayu seperti Tan Sri dan Dato' Sri di negeri ini.
"Persoalan ini mendapat maklum balas pelbagai peserta, ada yang bersetuju ada juga sebaliknya, namun apa yang dikesali kesimpulan dilontarkan membawa kepada persoalan akan perlunya Malaysia mempunyai sistem beraja.
"Elemen ini jelas menyentuh perkara yang berkait dengan Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri," katanya pada sidang media selepas selesai sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.
Selain itu menurutnya, bengkel sama turut mengetengahkan modul 'say no to Mahathirisme' yang secara terang menentang kepimpinan tertinggi negara sedangkan Perak dan kerajaan Pusat dari aliran parti yang sama.
"Kita melihat seolah ada satu usaha mendoktrin anak muda dengan pemikiran bebas, ini sesuatu yang tidak wajar berlaku dalam sebuah kursus yang dianjurkan dan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri," katanya.
Bekas Exco Belia itu turut mengingatkan kerajaan lebih peka dalam penyediaan modul kepimpinan agar tidak mengandungi elemen bertentangan.
"Akademos ini bukan sahaja dibuat di peringkat DUN belia, tetapi ada siri-siri lain melibatkan penjawat awam dan penuntut institusi pengajian tinggi, kita khuatir sekiranya modul sama digunapakai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!