Syor kerajaan teliti pengeluaran khas KWSP bantu bayar hutang
SHAH ALAM - Kerajaan disaran meneliti bagi membolehkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu golongan M40 yang dihimpit bebanan hutang.
Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, pengeluaran khas tersebut dapat mengurangkan bebanan golongan M40 yang perlu melunaskan hutang terutama dalam keadaan ekonomi tidak stabil pada masa ini.
"Kebanyakan golongan M40 ini nak bayar hutang, jadi dalam konteks ini mungkin kerajaan boleh lihat satu mekanisme untuk membolehkan golongan M40 mengeluarkan KWSP tetapi tujuan pengeluaran hanya untuk bayar hutang yang mencengkam.
"Sebagai contoh akaun 2 KWSP boleh keluarkan dan kurangkan bayar ansuran rumah tetapi konteks hutang-hutang lain tiada pengeluaran khsusus.
"Mungkin kerajaan boleh meneliti sama ada boleh buat satu pengeluaran khsusus di mana pencarum KWSP boleh keluarkan wang dari sebahagian akaun 2 atau akaun 3 untuk bayar hutang tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Sinar Live bertajuk 'Nak Keluar KWSP Lagi Ke?' yang dikendalikan hos Haizir Othman.
Program itu disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nuradli bagaimanapun memberitahu bahawa cadangan dalam konteks tersebut tersebut sewajarnya diteliti sama ada perlu atau tidak pengeluaran dilakukan.
"Tujuan kita ada KWSP ini adalah untuk pastikan masa depan kita selepas bersara terjamin maka kita perlu kumpul (wang) juga," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!