Latihan tingkatkan pendapatan alternatif selain pengeluaran KWSP

Tiga alternatif lain dicadangkan untuk membantu rakyat yang terkesan berbanding membenarkan pengeluaran wang KWSP. (Gambar kecil: Nuradli Ridzwan)
Tiga alternatif lain dicadangkan untuk membantu rakyat yang terkesan berbanding membenarkan pengeluaran wang KWSP. (Gambar kecil: Nuradli Ridzwan)
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga alternatif lain dicadangkan untuk membantu rakyat yang terkesan berbanding membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penganalisis Ekonomi, Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, tiga alternatif lain itu adalah memberi latihan kepada rakyat untuk tingkatkan pendapatan, bantuan kebajikan secara bulanan dan kurangkan cukai kepada golongan B40.

"Kalau tak boleh keluarkan KWSP maka kerajaan perlu ada alternatif lain dan jalan penyelesaian untuk bantu rakyat terutama golongan B40 dan M40 yang terkesan.

"Kerajaan boleh beri latihan kepada rakyat dari segi tingkatkan pendapatan mengikut lapisan umur sebagai contoh artificial intelligence (AI) untuk golongan muda manakala golongan berumur boleh diberikan khidmat nasihat dan latihan nak kurangkan hutang dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Sinar Live bertajuk 'Nak Keluar KWSP Lagi Ke?' yang dikendalikan hos Haizir Othman.

Program itu disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Nuradli Ridzwan berkata, alternatif kedua adalah memberi bantuan kebajikan sebagai contoh meneruskan pemberian bantuan sebelum ini.

"Mungkin dahulu dua kali setahun tetapi dicadangkan kali ini bantuan bulanan diberikan kepada golongan B40.

"Selain itu kerajaan mungkin boleh kurangkan cukai pada golongan B40 supaya mereka dapat gunakan duit cukai tak perlu dibayar itu untuk selesaikan hutang," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, wang persaraan yang tidak mencukupi bukan sahaja memberi risiko kepada individu terbabit malah turut memberi risiko kepada kerajaan itu sendiri.

"Sebagai contoh kalau ada ramai golongan pesara tidak dapat nak tampung kehidupan sendiri adalah satu tanggungjawab pada kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!