Jualan Gudang Karangkraf 2023 bermula hari ini
SHAH ALAM - Persiapan akhir Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang bermula pada Jumaat berjalan lancar dengan para pelanggan bakal ditawarkan diskaun menarik.
Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, para pelanggan akan menerima diskaun sehingga 50 peratus bagi satu tajuk buku tertentu sepanjang jualan gudang tersebut berlangsung.
“Persiapan sudah siap 100 peratus dan setiap hari kita ada satu tajuk buku yang ditawarkan namun stoknya terhad di mana siapa cepat, dia dapat dan pengunjung yang hadir dihadkan untuk membeli satu barangan sahaja bagi item istimewa itu.
“Disebabkan esok (hari ini) adalah hari Jumaat, maka kita bermula dengan menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi satu tajuk al-Quran dan kita sarankan datang awal bagi mendapatkan al-Quran tersebut kerana stok adalah terhad,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Roziyana memberitahu, pelbagai jenis buku dan tawaran menarik menanti para pelanggan sepanjang jualan gudang itu berlangsung.
“Selain pelbagai jenis buku ditawarkan, kita ada pelbagai jenis dan saiz al-Quran, rehal dalam pelbagai saiz serta sejadah yang khusus untuk persiapan Ramadan nanti.
“Banyak bahan bacaan yang dibeli maka banyak diskaun diterima oleh pelanggan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi jualan gudang dengan menjadi pelanggan yang terawal,” ujarnya.
Jualan gudang itu berlangsung dari 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!