Wang gaji hanya satu persinggahan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEBAIK sahaja Kerajaan Perpaduan Malaysia dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, rakyat meletakkan sepenuh harapan kepada pucuk pimpinan negara yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani kos sara hidup.

Masakan tidak, selepas dua tahun diuji dengan pandemik Covid-19, rakyat bukan sahaja golongan bawahan B40 malah kumpulan M40 dan T20, berterusan dibebani dengan masalah ekonomi, lebih tepat lagi masalah wang apabila nilainya semakin hari semakin kecil.

Pusing kanan, harga barangan runcit naik. Pusing kiri, harga makanan di restoran dan kedai makan terus melambung seolah-olah tidak lagi dapat dikawal.

Kita sampai naik pening memikirkan harga ayam, telur dan daging telah meningkat dengan ketara manakala bekalan kadangkala tidak mencukupi.

Membeli-belah dengan wang RM100 lima tahun lalu mungkin masih boleh penuh satu troli, tetapi kini dengan RM100 sekadar dapat membeli sekampit beras 10 kilogram (kg), sebotol minyak masak 5kg, sebungkus gula dan tepung serta beberapa barangan basah yang tidak pun dapat bertahan sampai seminggu.

Pada zaman ini, ada kerja tidak bermakna kita mampu menikmati gaji dengan enak sama seperti sebelumnya.

Ada yang mengeluh kerana wang gaji dalam akaun bank bagaikan satu persinggahan atau singgah sekejap sahaja. Daripada lima atau empat angka pada awal bulan, bakinya boleh jadi tiga atau dua angka menjelang hari gaji bulan berikutnya.

Bab barangan keperluan rumah eloklah kita letak tepi dahulu. Bayaran yuran sekolah anak, buku latihan tambahan dan duit belanja harian sahaja sudah ada ibu bapa rasa terbeban. Kalau anak seorang tidak mengapalah, tetapi bagaimana kalau sampai lima orang anak?

Itu belum lagi dikira pelbagai komitmen bulanan yang harus dibereskan mengikut tarikh tertentu kalau tidak mahu dikenakan penalti oleh pihak bank. Ini termasuk hutang kereta dan rumah.

Kalau tinggal menyewa, sewa rumah perlu dibayar. Bil air dan elektrik serta bayaran perkhidmatan langganan telekomunikasi pula boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.

Hendak kata semua ini sekadar untuk bermewah pun tidak sesuai kerana ia adalah satu keperluan dalam zaman moden sekarang.

Pendek kata, ada rakyat sedang mengikat perut, mungkin ada yang sedang membilang-bilang duit syiling, siapa tahu?

Ketika rakyat hidup susah, inilah masanya kepakaran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ditagih. Rafizi sebelum ini sewaktu berada di blok pembangkang sememangnya terkenal dengan pelbagai formula hebat untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.

Terbaharu dalam sidang akhbar di Putrajaya pada Rabu, beliau berkata kerajaan akan mengumumkan strategi baharu jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha menangani kemelut kos sara hidup dalam masa terdekat.

Perkara ini sudah tentu mendorong ekspresi emosi dan keterujaan tahap tertinggi apabila orang ramai ternanti-nanti formula terbaharunya sehingga ada yang tidak mampu menahan diri.

Kata Rafizi, empat kementerian dan beberapa agensi sedang bekerjasama meneliti langkah ke arah jaminan bekalan makanan bagi memenuhi permintaan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.

Beliau berkata, inisiatif yang diberikan oleh kerajaan terdahulu tidak mampu untuk menjamin kelangsungan pihak-pihak terlibat khususnya petani.

Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Ekonomi wajar tampil dengan formula berbeza sekali gus menjadi penyelesaian signifikan isu kos sara hidup.

Dalam usaha mewujudkan rantaian bekalan makanan yang stabil, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, golongan miskin tegar akan dilibatkan agar mereka mempunyai pendapatan tambahan dalam aktiviti berkaitan rantaian makanan.

Walaupun sindiran yang dilempar oleh rakyat mula kedengaran, Rafizi perlu membuktikan remedi menangani kos sara hidup kali ini pasti menjadi!

Sekiranya membuahkan hasil, ia memberi 'bonus' kepada parti-parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.

Jika sebaliknya berlaku, parti-parti ini harus bersedia menerima hukuman seawal pertengahan tahun ini iaitu menjelang pilihan raya di enam negeri terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian Putrajaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!