BISA impak positif buat usahawan
ALOR SETAR - Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang julung kali diperkenalkan bagi mengiktiraf dan menghargai usahawan tempatan bakal memberikan impak positif kepada pemain industri.
Presiden Aafiyat Group, Aidil Azwal Zainudin berkata, anugerah seperti ini perlu disokong kerana ia membantu membina perniagaan dari bawah hingga mampu menyumbang kepada ekonomi setempat termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti.
Beliau yang bakal mewarnai Malam Anugerah BISA pada 23 Februari depan turut mengakui, Sinar Harian bukan sekadar penyampai berita malah menggalas tanggungjawab untuk membina pemikiran rakyat.
“Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini dan mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian di atas penghormatan yang diberikan.
“Semoga apa yang diberikan ini akan menjadi satu titik tolak positif ke arah yang lebih baik. Usaha yang dilakukan oleh Sinar Harian ini mampu memberikan impak positif kepada kami warga Aafiyat Group,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Serantau Aafiyat Group di Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada Rabu.
Syarikat tersebut kini meletakkan sasaran jualan ekosistem meningkat sehingga lima kali pada tahun 2025 berbanding jualan terkumpul sebanyak RM55.6 juta pada tahun 2020.
Aidil Azwal berkata, sebagai sebuah syarikat yang perlu bergerak seiring dengan perkembangan digital, pihaknya melihat Sinar Harian sebagai satu platform yang pantas bergerak ke hadapan menghasilkan idea-idea segar dan telah bersama sejak tahun 2016.
Ujarnya, platform yang disediakan oleh Sinar Harian juga perlu direbut oleh para usahawan bagi mengembangkan dan memperkenalkan perniagaan masing-masing kepada masyarakat di negara ini.
“Kita sedia maklum, dunia berubah dengan begitu cepat. Kita kena pantas dan perlu kekal bermotivasi untuk berada di hadapan.
“Kita perlu mengambil kesempatan di atas platform yang disediakan oleh Sinar Harian kerana ini merupakan pintu kepada dunia yang lebih besar.
“Ada kalanya kita menyediakan produk dan perkhidmatan yang bagus tetapi tidak diketahui oleh masyarakat,” katanya yang kini dalam usaha mengembangkan perniagaan di pasaran Indonesia, Singapura dan Thailand.
BISA menyediakan pelbagai kategori anugerah untuk usahawan termasuk golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Anugerah berkenaan melibatkan mereka dalam industri atau sektor seperti pertanian, elektronik, fesyen, pelancongan, peruncitan, perkhidmatan dan banyak lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!