Unsur nadir bumi sumber kekayaan baharu

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat kerajaan Perak untuk mewujudkan pusat pemprosesan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid berupaya mendatangkan keuntungan besar buat negeri itu.

Pensyarah Kanan dan Felo Bersekutu di Pusat Penyelidikan Gold, Rare Earth and Material Technopreneurship Centre (GREAT) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Abdul Hafidz Yusoff berkata, dalam mencapai hasrat itu, kerajaan negeri harus berupaya memproses REE itu sendiri, bukan sekadar menjual bahan mentah tersebut ke luar negara.

Abdul Hafidz
Abdul Hafidz

“Inisiatif Perak mewujudkan pusat pemprosesan unsur nadir bumi bukan radioaktif sendiri penting bagi memastikan penghasilan semi produk dan produk akhir yang lebih bernilai tinggi berbanding bahan mentah REE.

“Kini, sudah ada beberapa pusat kajian dan pemprosesan REE yang wujud di universiti-universiti awam Malaysia seperti GREAT di UMK yang menjalankan kajian dan analisis berkaitan REE.

“Hasil kajian dan produk yang dijalankan oleh pusat-pusat kajian ini harus dibangunkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, kerajaan negeri Perak dilaporkan akan mewujudkan pusat pemprosesan sumber NR-REE lantanid di lombong di Mukim Kenering, daerah Hulu Perak bagi meneroka peluang besar dalam sektor perlombongan mineral bernilai tinggi di pasaran dunia itu.

Abdul Hafidz menjelaskan, harga REE adalah berbeza bergantung kepada aplikasi produk akhir yang akan dibangunkan.

Ujarnya, harga REE mentah tentunya jauh lebih murah berbanding yang telah diproses.

“Dalam industri ini, ia melibatkan tiga tahap iaitu industri huluan, pertengahan dan hiliran.

“Bagi industri huluan, ia melibatkan perlombongan REE mentah, pertengahan pula melibatkan pemprosesan REE manakala hiliran merupakan proses pembangunan produk akhir daripada REE,” katanya.

Menurut beliau, di Malaysia, industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif masih baharu dan tertumpu kepada industri huluan melibatkan perlombongan REE mentah.

“REE mentah ini akan dieksport ke luar negara untuk diproses dan dijadikan produk akhir.

“Jika trend ini berterusan, negara kita akan kerugian kerana kita hanya menjadi pembekal kepada teknologi maju yang dibangunkan negara lain tetapi tidak mempunyai teknologi sendiri,” jelasnya.

Perlombongan latanid tiada masalah jika patuhi SOP

Sementara itu, kerajaan disaran untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan melibatkan alam semula jadi termasuk rancangan mewujudkan pusat pemprosesan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Ahmad
Ahmad

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Dr Ahmad Ismail menegaskan, kesan sama ada kekal atau sementara terhadap alam semula jadi akan meninggalkan implikasi terutama kepada kualiti air dan hidupan di dalamnya serta habitat hidupan liar secara am.

“Panduan secara terperinci tentang proses pengambilan NR-REE perlu ada bagi membendung kemusnahan alam sekitar dan kehilangan kepelbagaian biologi.

“Begitu juga kajian keracunan NR-REE atas hidupan akibat aktiviti sedemikian,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Maketab
Maketab

Sementara itu, pakar alam sekitar, Dr Maketab Mohamed berpandangan, perlombongan NR-REE tidak menjadi masalah sekiranya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Mengikut rekod hanya negeri Perak yang ada SOP (perlombongan NR-REE) berkenaan, siap pada penghujung 2021.

“Yang menjadi masalah apabila tidak ikut SOP atau memang lakukan perlombongan haram,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!