Rezeki infak nasi lemak RM1
TANJONG KARANG - Keputusan pasangan suami isteri muda berpindah ke kampung demi menjaga seorang adik orang kurang upaya (OKU) ternyata membuka peluang rezeki apabila terbabit dalam perniagaan jualan nasi lemak RM1 sambil berinfak.
Izham Hakim Shah Amir Omar, 21, berkata, pada mulanya dia dan isterinya, Nor Syahirah Selamat, 20, sukar mendapat pekerjaan sejak berpindah dari Sungai Buloh ke rumah mentuanya di Parit 2 Ban 4 Tanjong Karang pada awal Januari lalu.
"Walaupun waktu itu saya sudah bekerja di sebuah kilang besi di Damansara, kami tekad untuk bantu ibu mentua menguruskan keperluan adik ipar OKU," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bagaimanapun, katanya, sejak berpindah ke rumah mentua, dia dan isteri berdepan dugaan apabila sukar mendapatkan pekerjaan.
"Saya dan isteri sudah puas hadiri temu duga, tetapi masih tidak dapat panggilan kerja hingga hilang punca pendapatan pada waktu itu," ujarnya.
Katanya, dalam keadaan kesempitan, dia dan isteri kerap terserempak dengan gelandangan dan pengutip botol yang sering merayau di tepi jalan raya.
"Pada waktu itu timbul idea hendak beri mereka makan untuk mengelakkan mereka kelaparan dan saya cadangkan isteri untuk infak nasi lemak.
"Walaupun kami sendiri serba kekurangan, tetapi apabila melihat mereka hati saya tersentuh kerana masih ramai lagi hidup susah dan terabai," katanya yang baru mendirikan rumah tangga pada 10 Disember tahun lalu.
Menurut Izham Hakim, bertitik-tolak daripada itu, dia kerap kali memberi infak nasi lemak kepada golongan yang kurang bernasib baik.
"Daripada situ, saya mula menerima tempahan daripada orang ramai yang mahu infak nasi lemak RM1 di masjid, surau, rumah anak yatim dan orang perseorangan.
"Pelanggan yang membeli nasi lemak infak bukan semata-mata dari Tanjong Karang, tetapi dari luar kawasan seperti Klang dan sebagainya yang meminta kami mengagihkan kepada orang ramai," jelasnya.
Tambahnya, nasi lemak RM1 yang memulakan operasi sejak 18 Januari itu dijual dengan kaedah membuat penghantaran terus jualan (COD).
"Jika waktu mula-mula dulu kami berinfak kepada mereka memerlukan, tetapi sekarang lebih ramai lagi mahu membeli dan infak nasi lemak RM1," katanya.
Jelasnya, pada ketika ini, sebanyak 400 bungkus nasi lemak infak dijual sehari dengan tempahan dua minggu lebih awal.
"Biasanya tempahan penuh dan terpaksa menunggu giliran memandangkan hanya saya dan isteri yang berniaga selain tiada pembantu," kata Izham Hakim.
Menurut Izham Hakim, meskipun menjual nasi lemak pada harga murah, namun mengakui masih memperoleh keuntungan daripada perniagaan itu.
"Sejujurnya untung masih ada, tetapi tidaklah banyak. Saya seronok dapat berkongsi rezeki dengan menggembirakan orang lain.
"Jika ada rezeki saya merancang hendak membuka kedai makan, tetapi buat masa ini biarlah kami menjalankannya di rumah dan membuat COD mengikut tempahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!