Siap siaga urus kesesakan di pintu masuk negara
PUTRAJAYA - Semua agensi kawalan sempadan diarahkan bersiap siaga dalam menguruskan kesesakan di pintu masuk negara termasuk di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan terutamanya pada hujung minggu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesesakan yang berlaku di ICQS Rantau Panjang adalah bermusim.
"Ia tidaklah seteruk Kompleks CIQ Johor yang mana berlaku kesesakan setiap hari, tetapi saya ulangi komitmen bahawa agensi kementerian di sempadan bersedia menguruskannya," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis Amanat Tahun Baharu, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan kementerian menerusi agensi bagi mengatasi masalah kesesakan di ICQS Rantau Panjang.
Kesesakan di Kompleks itu dilapor berlaku setiap hujung minggu dan cuti umum apabila ramai pengunjung dari Malaysia keluar ke Thailand untuk pelbagai urusan termasuk bercuti.
Urusan di Kompleks ICQS itu dilaporkan mengambil masa satu jam untuk diselesaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!