Dua pengawal keselamatan didakwa bunuh kelindan lori

Ishardy (dua dari kiri) dan Muhammad Yazzid (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datuk untuk menghadapi pertuduhan kes bunuh, pada Jumaat.
Ishardy (dua dari kiri) dan Muhammad Yazzid (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datuk untuk menghadapi pertuduhan kes bunuh, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang kelindan lori, minggu lalu.

Ishardy Shamudin, 41 dan Muhammad Yazzid Mohd Yusoff, 31 yang memakai baju lokap mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah membunuh M Saravana Kumar, 24, di tepi jalan di Kampung Olak Lempit, Banting di sini antara jam 10 hingga 11 malam, 11 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ermadieyani Ismadi manakala Ishardy diwakili peguam, Nik Muhammer Hurrie Muhamad Sukri sementara Muhammad Yazzid oleh R Sritheran.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Februari depan.

Pada 19 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang kelindan lori yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dibelasah sekumpulan lelaki di Olak Lempit, di sini.

Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2.15 pagi, 16 Januari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!