'Bersatu bersedialah jadi kluster mahkamah 2.0' - Isham Jalil
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disarankan untuk bersedia dihadapkan ke mahkamah susulan dakwaan kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil membalas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu itu selepas Faizal mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi direhatkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi mengelakkan gangguan dan kelewatan perbicaraan kes mahkamahnya.
Kata Isham, Faizal tidak seharusnya mencampuri urusan Zahid kerana ia merupakan hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk menentukannya.
"Daripada kamu sibuk dengan kes mahkamah orang lain dan pemimpin UMNO yang telah berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan terpilih oleh pemimpin daripada parti kamu dulu.
"Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi kluster mahkamah 2.0 akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia.
"Sebab sebelum ini semasa parti kamu dalam kerajaan, puak-puak kamu banyak terlepas dari pendakwaan kes jenayah apabila wakil-wakil rakyat kamu melompat parti," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Isham turut memberi amaran kepada Faizal dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) agar tidak cuba mengalihkan isu berkaitan rasuah yang dipanggil 'sedekah'.
"Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah?
"Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini.
"Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan, di dunia atau di akhirat. Bersiaplah," tegasnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!