20 asnaf terima manfaat skim SPERA

Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kiri) menyaksikan Majlis Pelancaran Program Kerjasama Strategik ZPP dan IKTBN, Bukit Mertajam dekat Masjid Jamek Kubang Ulu pada Khamis.
Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kiri) menyaksikan Majlis Pelancaran Program Kerjasama Strategik ZPP dan IKTBN, Bukit Mertajam dekat Masjid Jamek Kubang Ulu pada Khamis.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Seramai 20 asnaf di kawasan Daerah Seberang Perai Tengah bakal menerima manfaat menerusi Skim Pendawaian Elektrik Rumah Asnaf (SPERA) yang diperkenalkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, SPERA merupakan salah satu skim agihan yang terkini diperkenalkan ZPP dengan kerjasama strategik Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam.

Menurutnya, ZPP telah memperuntukkan sebanyak RM120,000 bagi menjayakan program tersebut dengan setiap keluarga bakal menerima peruntukan maksimum sehingga RM6,000.

“Melalui skim ini, pihak IKTBN akan menggunakan kepakaran mereka untuk membuat pemeriksaan dan kerja-kerja pembaikan pendawaian elektrik di rumah asnaf telah dikenal pasti manakala ZPP pula akan membiayai kos menggunakan dana agihan zakat.

“Skim ini diperkenalkan selepas kita mendapati kebanyakan rumah di Pulau Pinang terutamanya di kampung-kampung masih lagi menggunakan pendawaian elektrik yang berusia puluhan tahun dan berisiko mengalami masalah litar pintas," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kerjasama Strategik ZPP dan IKTBN, Bukit Mertajam dekat Masjid Jamek Kubang Ulu pada Khamis.

Pelancaran program itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTBN Bukit Mertajam, Muzkhairil Muhamad serta pegawai-pegawai ZPP.

Mengulas lanjut, Amran berkata, SPERA dilaksanakan secara berfasa dengan mengikut kariah di seluruh negeri ini bermula dengan projek rintis di daerah Seberang Perai Tengah.

“Fokus akan diberikan kepada asnaf fakir dan miskin yang merupakan penerima skim kewangan bulanan daripada ZPP.

“Antara syarat kelayakan skim ini adalah penerima hendaklah tinggal di rumah sendiri atau rumah pusaka manakala asnaf yang tinggal di rumah sewa atau rumah dibina oleh pemaju tidak layak menerima skim baharu ini,” jelas beliau.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, program kerjasama startegik tersebut membuktikan kesungguhan ZPP dalam menunaikan amanah pembayar zakat di Pulau Pinang dengan memberikan hak sebaiknya kepada golongan memerlukan.

“Saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2022, ZPP berjaya mengagihkan sebanyak RM3.05 juta untuk keseluruhan skim agihan perumahan melibatkan projek bina baru (22 rumah) telah dibina untuk asnaf yang layak serta bagi Skim Baikpulih (82 rumah) telah dibaik pulih.

“Diharapkan, melalui semua skim agihan yang diterima daripada ZPP ini digunakan sebaik mungkin oleh keluarga asnaf khasnya untuk menampung kos kehidupan seharian,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!