Mesyuarat MKT UMNO malam ini jadi tumpuan
SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan malam ini, bakal menjadi tumpuan berikutan keputusan penyingkiran beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan tindakan sabotaj dan mengkritik kepemimpinan parti itu akan dibuat.
Berdasarkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, mesyuarat MKT berkenaan akan melakukan pembersihan secara besar-besaran, yang secara tidak langsung memberi isyarat mengenai penyingkiran tersebut.
Nasib bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dilihat lantang mengkritik pemimpin parti, dijangka akan diketahui malam ini berikutan tindak-tanduknya yang didakwa melanggar disiplin parti.
Khairy juga lantang menyuarakan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi tidak terkubur dalam parti itu.
Malah, bekas calon Barisan Nasional (BN) yang tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Sungai Buloh pada November lalu, turut memaklumkan mahu membersihkan UMNO jika menang di kerusi itu.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) baru-baru ini, khairy turut mendakwa terdapat perwakilan import ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.
Selain itu, nasib bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan beberapa pemimpin UMNO Tanjong Karang juga akan diketahui, malam ini apabila didakwa terbabit dalam mensabotaj parti pada PRU15 yang lalu.
Noh juga lantang mengkritik parti pada PAU 2022 lalu, selepas pemimpin Kelab UMNO Luar Negara dikatakan dihalang berbahas kerana ada kecenderungan mengkritik presiden parti termasuk tidak setuju dengan usul tiada pertandingan membabitkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengesahkan mesyuarat MKT akan memutuskan tarikh pemilihan parti termasuk bagi jawatan tertingginya.
Katanya, ia membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan dan bahagian, yang dijangka diadakan serentak bagi 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih pucuk pimpinan tertingginya.
Sebelum itu, dua jawatan tertinggi UMNO diputuskan melalui usul tambahan pada PAU 2022, tidak akan dipertandingkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!