Boikot kedai makan: ‘Hanya salah tanggapan'
BANGI - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menganggap isu ‘pulau’ restoran dan kedai makan yang gagal menurunkan harga makanan disalah anggap oleh orang ramai.
Salahuddin berkata, sebaliknya kenyataan itu perlu dilihat dari sudut yang lebih luas bagi mendidik masyarakat untuk mengurus pembelian dengan lebih bijak.
“Saya rasa itu hanya miscommunication (tanggapan salah) sahaja, ia jelas menunjukkan bahawa bukan boikot, tetapi pendidikan kepada pengguna itu penting.
“KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi supaya rakyat perlu ada kesedaran yang bijak dalam mengurus pembelian.
“Itu saya rasa yang dimaksudkan oleh menteri (Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli), bukan kita nak boikot. Itu bukan polisi Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi jelajah mesra Ops Menu di sekitar Kajang dan Bangi pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan, Rafizi mencadangkan supaya rakyat ‘pulau’ kedai makan dan restoran yang gagal menurunkan harga meskipun kos bahan mentah dalam pasaran kini menunjukkan penurunan.
Rafizi dilapor mengakui kerajaan tidak campur tangan terhadap kenaikan harga dan mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memulau premis terlibat.
Sementara itu, mengulas mengenai harga makanan siap dimasak, Salahuddin menjelaskan, kerajaan sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memantau harga yang telah ditetapkan.
“Masih boleh (kawal) dengan cara sesi libat urus dengan persatuan kedai makan dan restoran. Boleh dibincang (harga) asalkan kedua-dua pihak (pengguna dan peniaga) faham tentang harga (pasaran) semasa dan juga harga yang dikenakan kepada pelanggan.
“Kita hanya boleh bagi panduan umum kerana rata-rata harga menu asas masih boleh dikawal dan kalau ada kedai yang jual lebih daripada harga munasabah, kita boleh tahu.
“Secara purata, harga bagi sepinggang hidangan lengkap (merangkumi) nasi, seketul ayam dan sayur (dijual) pada harga RM7 hingga RM8, masih lagi munasabah berdasarkan kepada kos bahan mentah yang sememangnya pada hari ini amat sukar untuk diturunkan (harga),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!