Jonathan Balotelli senjata pemusnah baharu KDA FC

Jonathan Balotelli - Foto KDA FC
Jonathan Balotelli - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengumumkan penyerang import kelahiran Brazil, Jonathan Boareto dos Reis mengisi kuota pemain penyerang import antarabangsa Sang Kenari bagi musim 2023.

Pemain berusia 33 tahun ini bakal bergandingan bersama dengan seorang lagi penyerang juga dari Brazil, Willian Lira yang kini cemerlang meledakkan empat gol bersama KDA FC pada tiga aksi pra-musim 2023.

Dia yang mendapat gelaran Jonathan Balotelli sebelum ini beraksi bersama pasukan Jeonnam Dragons di Liga kedua Korea Selatan, (K-League 2) dan membantu kelab itu menjuarai Piala FA Korea Selatan pada musim 2022.

“Ketajaman Balotelli ditagih bagi menjadi senjata pemusnah Sang Kenari. Balo akan menggunakan jersi bernombor 89 di musim 2023,” umum KDA FC pada Jumaat.

Ketajaman Balotelli mendapat perhatian pengendali KDA FC, Nafuzi Zain yang mahukan seorang penyerang yang mampu mengalas tugas untuk memburu gol jika penyerang lain seperti Willlian mengalami kecederaan.

Bersama Jeonnam Dragons, Balotelli telah menjaringkan sebanyak 20 gol dengan tujuh bantuan gol dalam 62 penampilan K-League 2.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!