Pembersihan UMNO: 'Jangan pecat bekas pemimpin'

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Mohd Zain)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Mohd Zain)
A
A
A

KOTA BHARU - Pembersihan besar-besaran UMNO terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum (PRU) lalu tidak boleh dilakukan secara drastik atau terlalu keras.

Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim berpendapat, pembersihan tersebut perlu ditukar dengan tindakan yang lebih bersederhana tanpa melibatkan pemecatan ahli atau bekas-bekas pemimpin terdahulu parti itu.

“Saya melihat pembersihan itu menjurus kepada pemecatan dan sepatutnya lebih baik ditukar dengan penggantungan keahlian mereka yang dikatakan terlibat.

“Tidak boleh terlalu drastik seperti mana tindakan kepada bekas pemimpin sebelum ini kerana kesannya buruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, UMNO tidak boleh membuat sesuatu tindakan yang menimbulkan ketakutan orang ramai daripada terlibat secara terus dalam politik khususnya parti itu.

“Dalam soal ini, ambil lah hati rakyat supaya UMNO dapat bangkit kembali.

“Kalau kita menakutkan rakyat atau memperlihatkan parti ini ganas contohnya lebih bersifat dendam maka orang tidak akan hormati atau pedulikan kita.

“Saya tidak berasakan Datuk Seri Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ingin mengambil tindakan sebegitu,” ujarnya.

Beliau turut percaya ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO juga mempunyai pandangan sama supaya pemecatan tersebut tidak dilakukan.

“Betullah apabila pecat, boleh tutup terus mulut mereka ini, tetapi apa guna jika parti semakin ‘kurus’ dan kita bercakaran namun PRU kita kalah.

“Saya tidak sokong pemecatan tetapi mereka yang didakwa mensabotaj parti ini perlu diberi pengajaran menerusi kaedah lain supaya lebih berwaspada daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan keruntuhan parti,” jelasnya.

Pada Khamis, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan pembersihan itu akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada Jumaat.

Perkara termasuk melibatkan status keahlian bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Khairy, bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka dikatakan mengkritik beberapa pemimpin UMNO selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak tunduk dipecat daripada UMNO: KJ

ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:UMNO pecat KJ, Hishammuddin dan Shahril digantung keahlian

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] UMNO gantung keahlian Noh Omar

ARTIKEL BERKAITAN:Noh Omar dipecat selepas pertikai penggantungannya

ARTIKEL BERKAITAN:Noh hadir mesyuarat MKT UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan bebaskan UMNO dari 'gunting dalam lipatan'

ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan UMNO: 'Jangan pecat bekas pemimpin'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!