Bomba bantu penduduk Orang Asli terputus hubungan

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Kluang membantu menghantar petugas kesihatan dan penduduk setempat ke Kampung Orang Asli Pucur, Kahang selepas laluan darat di kawasan itu ditenggelami air ketika tinjauan di Jeti Kahang, pada Jumaat. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Kluang membantu menghantar petugas kesihatan dan penduduk setempat ke Kampung Orang Asli Pucur, Kahang selepas laluan darat di kawasan itu ditenggelami air ketika tinjauan di Jeti Kahang, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Penduduk Kampung Orang Asli Pucur, Kahang, di sini yang terputus hubungan berikutan jalan raya yang menghubungi kawasan penempatan mereka masih ditenggelami air, mendapat bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Nizar Ma’mun berkata, seramai 15 anggota dan seorang pegawai ditugaskan untuk menghantar petugas kesihatan dan penduduk ke Kampung Orang Asli Pucur dari Jeti Kahang, di sini.

"Sebanyak tiga bot aluminium disediakan sebagai pengangkutan di Jeti Kahang memandangkan jalan raya untuk masuk ke kampung tersebut telah ditenggelami air.

"Rumah penduduk tidak ditenggelami air, namun kebanyakan daripada mereka terputus bekalan (barangan keperluan) kerana laluan ditenggelami air," katanya ketika ditemui Bernama di jeti itu di sini pada Jumaat.

Muhammad Nizar berkata, anggaran masa perjalanan dari Jeti Kahang ke Kampung Orang Asli Pucur dengan bot adalah satu jam.

Seorang penduduk Kampung Orang Asli Pucur Kapas Mat Ali, 45, berkata, baru hari ini dia berpeluang melihat keadaan rumahnya selepas JBPM Johor menawarkan bantuan pengangkutan bot untuknya sekeluarga.

"Terima kasih bomba dan orang ramai yang menghulurkan bantuan, saya berharap keadaan banjir ini akan reda dengan cepat supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa termasuk dapat menoreh getah semula," katanya.

Kapas dari Suku Jakun berkata, dia agak buntu memikirkan kehidupannya sekeluarga di waktu banjir ini kerana masih tidak dapat keluar menoreh getah berikutan jalan raya menghubungkan kawasan penempatan penduduk dengan kebun mereka, masih ditenggelami air.

Ibu tunggal anak lima yang ditemui Bernama di Jeti Kahang itu berkata, sudah masuk empat hari dia tidak dapat pergi ke kebun selepas banjir melanda kawasan itu, Selasa lepas.

"Sekarang ini saya dan keluarga perlu berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan, mujur ada pihak yang menghulurkan bantuan makanan dan barangan keperluan.

"Rumah saya tidak dinaiki air, cuma kebun dan jalan raya. Namun, akibat kejadian itu pendapatan terjejas, kami dapat bantuan makanan, cuma saya bimbang jika banjir di jalan raya dan kebun tidak surut, saya tidak dapat keluar menoreh lagi," katanya.

Menurut Kapas, ketika jalan raya menghubungkan kawasan rumahnya ditenggelami air, dia sekeluarga berkumpul di rumah anak keduanya di Kampung Pengkalan Bukit di sini sejak Sabtu lepas, sempena cuti umum Tahun Baharu China. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!