'Saya tak dera Bella’ – Siti Bainun

Siti Bainun
Siti Bainun
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa, dia tidak pernah mendera, memijak atau menendang remaja sindrom Down, Bella.

Sebaliknya, Siti Bainun, 31, berkata, kesan gigitan dan lecuran air panas pada remaja itu adalah disebabkan pergaduhannya dengan bekas penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Balqis.

Semasa membaca pernyataan saksi pada hari kedua prosiding bela diri di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Siti Bainun, 31, berkata, dakwaan dia melakukan penderaan adalah rekaan semata-mata.

Dia yang memberi keterangan tanpa peguam menyatakan, arahan supaya Bella berdiri dengan lama juga tidak pernah dibuat.

“Tidak ada pun laporan menunjukkan kaki Bella bengkak sedangkan saya dikatakan setiap hari mengarahkannya berdiri terlalu lama.

“Saya tidak dera Bella, kalau saya sekejam itu, buat apa saya cuba sembuhkannya, tiada keperluan untuk saya cari ubat yang terbaik atau merawatnya hingga menghabiskan wang ringgit,” katanya.

Bainun yang juga saksi pembelaan pertama berkata, sebagai seorang ibu, dia telah merawat Bella dengan baik dan membawanya untuk mendapatkan rawatan susulan di Klinik Setapak.

Dia berkata, ia dikuatkan lagi dengan hasil pemeriksaan saksi pendakwaan kedua (SP-2), doktor di bahagian kecemasan dan trauma, Dr S Meenambigai bahawa, paru-paru, abdomen dan kaki remaja itu adalah normal.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 20 Februari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!