Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS
RINGGIT mengakhiri minggu ini dengan positif untuk ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat disokong oleh kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah sentimen risiko global yang bertambah baik, kata penganalisis.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2410/2475 berbanding dolar AS daripada 4.2450/2465 pada penutup Khamis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, jangkaan untuk Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk memastikan pengeluaran stabil di tengah-tengah kegilaan rakyat China melancong membantu meningkatkan harga minyak lebih tinggi.
Ketika ini, penanda aras harga minyak mentah Brent naik 1.26 peratus kepada AS$88.57 setong.
Innes berkata walaupun dolar AS mendapat tarikan semasa waktu dagangan Asia, ringgit masih kekal menarik sementara pelabur pula menunggu keputusan Rizab Persekutuan minggu depan.
Pada penutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2280/2332 daripada 3.2345/2359 pada penutup Khamis dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2453/2533 daripada 5.2583/2601 sebelumnya.
Ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 4.6159/6230 daripada 4.6254/6270 semalam dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2658/2711 daripada 3.2671/2685. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!